|
Untitled Document
911 INGATKAN PERI PENTING DIPERKUKUH HUBUNGAN KAUM Oleh Haryani Ismail
HARI ini - 11 September - genap setahun serangan pengganas di Amerika Syarikat
yang menggemparkan dunia.
Di Singapura, sedang sebilangan masyarakat berhimpun untuk melayangkan ingatan
dan bertafakur, ia juga adalah masa untuk mengingatkan peri pentingnya mengukuhkan
hubungan antara kaum.
Inilah sentimen yang dikongsi beberapa pemimpin agama, masyarakat dan akar
umbi apabila dihubungi Berita Harian baru-baru ini.
Menyusuli peristiwa itu, pelbagai usaha giat dilakukan termasuk penubuhan Kumpulan
Keyakinan Antara Kaum (IRCC) di peringkat kawasan undi dan pengenalan Hari Sukan
Keharmonian Kaum di sekolah-sekolah.
Ketika dihubungi, Setiausaha Parlimen (Pendidikan), Encik Hawazi Daipi, berkata
peristiwa 911 menyedarkan penuduk Singapura tentang sensitiviti dan keperluan
mengukuhkan keharmonian kaum seawal peringkat sekolah.
Beliau, yang mempengerusikan Jawatankuasa Memperkukuhkan Keharmonian Kaum Di
Sekolah-Sekolah, menambah: 'Sekolah-sekolah, justeru itu, digalakkan untuk mengemukakan
idea menarik dalam memupuk jalinan antara kaum dan berkongsi amalan baik dan
berjaya itu.
Misalnya, program pertukaran pelajar antara Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama)
dan Sekolah Menengah Springfield membolehkan pelajar-pelajar dari sekolah Rancangan
Bantuan Khas (SAP) bergaul dan mengenali budaya pelajar dari kaum lain.'
Presiden Persatuan Amerika Singapura (AAS), Cik Joanne Blakemore, pula menambah
911 melambangkan gejala dan krisis besar-besaran yang boleh berlaku di mana-mana
termasuk negara yang mantap dan kepada sesiapa.
Menurutnya, sedang peristiwa itu 'menyentak dunia', ia juga mendorong ramai
agar saling mengenali kaum lain di sekeliling mereka agar tidak wujud rasa curiga.
Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan Persekutuan Seruan Islam Singapura (Jamiyah),
antara pertubuhan yang aktif memajukan keharmonian kaum, pula, giat menjalin
ukhwah melalui aktivitinya.
Sementara itu, Duta Amerika Ke Singapura, Encik Franklin Lavin, berharap perbincangan
terbuka tentang isu dasar-dasar penting yang tidak dipersetujui dapat diteruskan.
'Setahun selepas 11 September, sedang kita mengingati ribuan mangsa yang terkorban
hari itu, kita harus gembira bahawa pengganas sesungguhnya telah gagal dalam
komplot melaga-lagakan agama dengan agama, jiran dengan jiran,' katanya.
Hari ini, upacara memperingati 911 atau Acara Peringatan: Bersama Dalam Ingatan,
Bersatu Untuk Menghurai akan dianjurkan di Kedutaan Amerika dan AAS dengan kerjasama
IRO.
Sebuah loceng besar sebe rat 68 kilogram disediakan di kawasan itu untuk orang
ramai membunyikannya sebagai memperingati tragedi peristiwa 911.
Artikel diambil dari Berita Harian, 18 September 2002
|