|
Untitled Document
MEMUPUK RASA KEBERSAMAAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK SINGAPURA
Majalah Dewan Masyarakat telah menyiarkan pandangan Rudy
Herman Sinen mengenai usaha memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat majmuk
Singapura. Rencana beliau, dengan label E-mel dari Kota Singa, disiarkan pada
Oktober lalu. Berikut sedutannya.
TANGGAL 21 Julai memang istimewa buat para pelajar sekolah
Singapura. Pada hari itu mereka digalakkan berpakaian etnik kaum lain. Pelajar
Melayu akan berpakaian tradisional Cina atau India dan begitulah sebaliknya
bagi kaum Cina dan India.
Hari istimewa ini merupakan Hari Keharmonian Kaum (Racial
Harmony Day). Sambutan besar-besaran akan dianjurkan di setiap sekolah demi
memperingati dan menghargai betapa pentingnya memupuk dan mengekalkan keharmonian
antara kaum di kalangan rakyat.
Tarikh 21 Julai dipilih kerana pada 21 Julai 1964 tercetus
rusuhan kaum yang me ngerikan, yang menggugat keamanan negara Singapura.
Pada program yang dinamakan Hari Sukan Keharmonian Kaum
(Racial Harmony Games Day), para pelajar diperkenalkan pelbagai permainan tradisional
pelbagai kaum.
Program tersebut bertujuan mengukuhkan keharmonian kaum
di sekolah-sekolah dan memperkenalkan budaya melalui permainan tradisional kaum
masing-masing.
Sebagai sebuah negara yang sumber aslinya hanya manusia,
keutuhan dan perpaduan di kalangan rakyat sangat penting untuk kemakmuran negara.
Sepanjang hampir 40 tahun merdeka, Singapura telah berjaya menyediakan kehidupan
yang bertaraf dunia kepada rakyatnya.
Kini hampir 80 peratus rakyat Singapura memiliki rumah
sendiri, berpendidikan sekurang-kurangnya peringkat 'O' dan mempunyai sebilangan
besar tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Wujudnya pelbagai kaum di Singapura bolehlah diibaratkan
seperti bulatan-bulatan yang bertindih (overlapping circles).
Sebahagian daripada bulatan itu wujud dengan sendirinya,
sementara sebahagian lagi bertindih dengan bulatan yang lain.
Seperti bahagian bulatan yang tidak bertindah, setiap
kaum mempunyai amalan tradisi yang tersendiri dan memang sewajarnya dikekalkan
demi keutuhan bangsa itu sendiri.
Namun, sebagai sebahagian daripada anggota sebuah masyarakat
yang berbilang kaum, setiap kaum itu mesti meninjau keluar daripada lingkungan
bangsa dan agama mereka masing-masing.
Di bahagian mana yang boleh kita jalin titik persamaan
dan membina ras kebersamaan, maka sudah sepatutnya digalakkan.
Dengan adanya ruang dalam kehidupan dan budaya setiap
kaum yang dapat dikongsi bersama, maka ia diharapkan akan dapat menjamin keutuhan
sebuah negara berbilang kaum daripada dirobek oleh anasir-anasir yang inginkan
perpecahan.
Menurut contoh tadi, bahagian bulatan yang bertindih
itulah bahagian yang dapat setiap kaum bekerjasama dan kuat-menguatkan antara
satu sama lain.
Ia perlu dikuatkan oleh jalinan sosial yang kukuh melalui
proses mengenali dan memahami budaya dan agama masing-masing.
Setiap kaum harus memandang luar daripada lingkungan
kaum mereka agar kita dapat meninjau daripada sudut yang kita dapat membantu
kaum lain demi perpaduan negara secara keseluruhannya.
Pada awal tahun ini, Perdana Menteri Singapura, Encik
Goh Chok Tong, mengutarakan satu konsep baru untuk memupuk keharmonian kaum.
Beliau mengusulkan agar dibentuk Kumpulan Keyakinan Antara Kaum (Inter-Racial
Confidence Circles atau rinhgkasnya IRCC).
Idea ini bertujuan menyediakan landasan bagi pemimpin
masyarakat daripada pelbagai kaum menjalin ikatan dan persefahaman. Kumpulan
ini merupakan satu usaha memperdalam rasa penghargaan terhadap budaya kaum lain
dan memperteguhkan keyakinan terhadap sesama kaum.
Para pemimpin masyarakat dan agama seharusnya memainkan
peranan yang utama dalam menjayakan konsep IRCC ini.
Setiap kaum mesti menilai bentuk sumbangan yang dapat
diberikan agar perpaduan kaum yang dibina dapat berkekalan dan diteruskan ke
generasi seterusnya.
Membina rasa percaya-mempercayai sesama kaum merupakan
satu usaha yang berterusan kerana, jika tidak perpaduan yang sudah dipupuk akan
hancur jika tragedi seperti serangan 11 September 2001 berulang kembali.
Memang tidak dapat dinafikan, kejadian serangan 11 September
meletakkan masyarakat Islam seluruh dunia di dalam perhatian.
Tidak cukup dengan itu, penangkapan anggota-anggota
Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura yang ada kaitan dengan Al-Qaeda hampir-hampir
menggugat keharmonian kaum di sini.
Reaksi masyarakat Islam setempat adalah jelas mereka
menolak cara militan JI dan pada masa yang sama berusaha untuk memberi penerangan
dan menonjolkan imej keamanan yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam.
Semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum, Majlis Ugama
Islam Singapura (Muis) menganjurkan acara lawatan ke masjid-masjid untuk masyarakat
bukan Islam. Lawatan merupakan satu acara tahunan yang sering kali mendapat
sambutan yang menggalakkan.
Tujuan utama dianjurkan acara lawatan ini adalah untuk
memberi peluang lebih ramai penduduk bukan Islam dan Islam menyertai rumah terbuka
agar mereka dapat lebih memahami kehidupan masyarakat Islam di sini dan peranan
masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat.
Program tadi dapat membantu mereka melihat sendiri pelbagai
kegiatan masjid, yang bukan hanya untuk tujuan bersolat.
Antara kegiatan di masjid-masjid Singapura, selain kelas
agama, ialah kursus teknologi maklumat, kelas prasekolah, kelas bimbingan pelajar,
perpustakaan berbilang media, pusat khidmat sosial dan sebagainya.
Persatuan Muslim Universiti Nasional Singapura (NUSMS)
dan Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) telah menganjurkan
satu acara pameran dan penerangan mengenai Islam di pekarangan universiti masing-masing
pada Mac lalu.
Pameran ini bertujuan menerangkan nilai-nilai Islam
dan bagaimana nilai-nilai ini dapat membantu membina negara yang makmur.
Malah NUSMS membuka keanggotaan persatuan mereka kepada
siswa bukan Islam sebagai anggota bersekutu.
Inisiatif bijak yang diambil oleh mahasiswa-mahasiswa
Islam di Singapura untuk merapatkan jurang antara kaum dapat menjamin kesejahteraan
negara apabila mereka masuk ke alam pekerjaan dan menjadi pemimpin masyarakat
kelak.
Ketika berucap sempena Hari Pertubuhan Antara Agama
(Inter-Religious Organisation Day) pada awal tahun ini, Dr Yaacob lbrahim (Pemangku
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan yang juga Menteri Bertanggungjawab
bagi Ehwal Masyarakat Islam) menggariskan tiga strategi yang mesti dilakukan
oleh setiap warga Singapura. Secara umumnya:
Pertama, soal keharmonian kaum merupakan satu hal yang
amat sensitif. Cukup jika terjadinya kejadian yang negatif maka segala usaha
ke arah keharmonian kaum dan agama yang sudah dibina selama ini akan hancur
musnah.
Kedua, para pemimpin agama hendaklah faham peri perlu
mengambil langkah sederhana dan perlunya ditekankan sikap kepekaan dan hormat
terhadap gaya hidup masyarakat daripada agama lain.
Sebagai concoh, masyarakat Hindu mengubah jadual perayaan
Thaipusam, yang selalunya diadakan pada pagi hari, kepada waktu dinihari agar
tidak berlaku kesesakan jalan raya dan ketidakselesaan kepada pengguna jalan
raya yang lain. Orang Cina membakar incense papers di dalam tong-tong khas yang
disediakan pemerintah, sementara masjid-masjid pula merendahkan suara daripada
alat pembesar suara ketika azan.
Ketiga, setiap warga Singapura mestilah sentiasa menjalin
hubungan dan mengenali satu sama lain agar kita dapat memahami dan menghargai
keistimewaan yang ada pada setiap individu dan masyarakat sesuatu kaum. Apabila
setiap anggota masyarakat daripada berbagai-bagai kaum dan agama tinggal, belajar,
bermain dan bekerja bersama maka kita akan lebih mengenali dan menghormati perbezaan
yang terdapat pada budaya kaum lain.
Sebuah negara yang penduduknya tergolong dalam masyarakat
yang berbilang kaum merupakan sebuah negara yang unik dan istimewa. Setiap kaum
mempunyai ciri-ciri dinamika yang tersendiri dan boleh digunakan untuk kemakmuran
negara.
Namun dengan wujud perbezaan amalan dan kepercayaan
setiap kaum, maka akan wujud juga risiko perselisihan faham dan syak wasangka
di kalangan kaum-kaum yang berbeza.
Oleh itu, hanya melalui kesedaran dan usaha bersepadu
dari kalangan anggota masyarakat setiap kaum untuk memupuk dan menghargai budaya
kaum lain dapat menjamin penakatan dan kemakmuran Singapura kini dan akan datang.
Artikel diambil dari Berita Harian, 11 Disember 2002
|