Memanfaatkan Peluang Pembelajaran di Rumah

Memanfaatkan Peluang Pembelajaran di Rumah

Pada tanggal 3 April 2020, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong telah mengumumkan tentang peralihan ke pembelajaran di rumah (HBL) secara sepenuhnya mulai 8 April 2020 untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Langkah ini amat dialu-alukan oleh para ibu bapa yang begitu bimbang akan keselamatan anak-anak mereka. Namun, langkah ini juga telah menyebabkan kegusaran pada para guru, pelajar dan juga segolongan ibu bapa yang bertanggapan penting bagi para pelajar untuk terus menghadiri sekolah.

Melihat peralihan ini, Yayasan MENDAKI juga turut bertindak dengan mengambil keputusan untuk meneruskan kelas-kelas tuisyen secara dalam talian. Para tutor juga sedar akan pentingnya untuk terus memberi sokongan kepada para pelajar di saat yang genting ini.

Dengan itu, kelas-kelas tuisyen MENDAKI turut bersambung dengan menggunakan pelbagai kaedah yang sedia ada. Ada tutor yang mengadakan kelas mereka di alam maya melalui aplikasi seperti ZOOM atau ClassDojo. Ada pula yang menggunakan WhatsApp atau Google Hangouts dan pelbagai applikasi yang lain untuk memastikan para pelajar diberi sokongan yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka.

Sebagai Roving Mentor, saya turut bekerjasama dengan pegawai-pegawai zon pusat-pusat MTS untuk memastikan bahawa kelas-kelas yang diadakan berkualiti tinggi dan bermanfaat. Kami sering berkongsi bersama para tutor tentang aplikasi-aplikasi serta bahan-bahan yang boleh digunakan untuk bermanfaatkan lagi pengajaran dan pengalamaan para pelajar dalam kelas. Ketua tutor bagi setiap pusat juga memantau para tutor mereka dan memberikan maklum balas mengenai cara pengajaran dan jika perlu, cara-cara untuk mempertingkatkan lagi cara pengajaran mereka. Ini akan memastikan yang para pelajar sentiasa mendapat sokongan yang padu daripada para tutor mereka dan mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi dalam tempoh pemutus litar.

Pembelajaran di rumah bukanlah sesuatu yang ideal, tetapi sesuatu yang perlu buat masa tersebut. Maka, kita harus menerima langkah itu dengan tangan terbuka. Para pendidik bertungkus-lumus mempelajari aplikasi-aplikasi terkini untuk memastikan pembelajaran masih dapat diteruskan justeru penting bagi para pelajar dan ibu bapa memainkan peranan aktif untuk memastikan pembelajaran masih dapat diteruskan secara efektif. Memang tidak dapat dinafikan, pembelajaran dalam talian, tidak akan dapat menggantikan interaksi antara para pelajar, guru dan rakan-rakan di dalam kelas. Namun, sekurang-kurangnya, kandungan pembelajaran masih dapat disampaikan.

Pembelajaran di rumah secara sepenuhnya menimbulkan banyak cabaran kerana ia merupakan sesuatu yang baru. Dalam masa yang singkat, para pendidik harus mengubah cara pengajaran, sejajar dengan keperluan pelajar mereka. Mereka harus memastikan pembelajaran masih dapat berlaku, walaupun tidak dapat berdepan dengan para pelajar secara fizikal.

Para pelajar pula harus cuba menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini bermaksud, mereka harus pandai mengatur masa dan mendisiplinkan diri untuk mengikuti bahan pengajaran yang disediakan. Ini merupakan sesuatu yang payah, terutama sekali bagi pelajar-pelajar di peringkat rendah yang belum berupaya memberikan fokus serta melengkapkan tugasan-tugasan yang diberi secara individu seperti memuat-naikkan tugasan, merakam audio atau video serta bermacam-macam lagi. Maka, ibu bapa, memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan mereka dapat mendukung pembelajaran anak-anak mereka. Tanggungjawab untuk memastikan pembelajaran berlaku kini beralih daripada guru kepada pelajar dan ibu bapa. Kadangkala, ini mendatangkan tekanan dalam kalangan ibu-bapa yang masih perlu menjalankan tugas seharian.

Pembelajaran di rumah yang efektif bukan sekadar kebolehan menguasai aplikasi-aplikasi atau perisian terkini, malah mereka perlu memahami kandungan pembelajaran yang cuba disampaikan guru serta melengkapkan tugasan yang diberi. Ini tidak mustahil jika para pelajar sendiri mengambil inisiatif serta berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada guru, ibu bapa atau tutor sekiranya menghadapi kemusykilan. Pastinya, mereka akan sedia membantu.

Ibu bapa juga sepatutnya menggenggam peluang keemasan ini untuk berinteraksi serta meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka. Mereka juga dapat melihat serta memahami cara anak-anak mereka belajar, dan bukan sekadar melihat markah yang diraih oleh anak-anak mereka selepas setiap penilaian atau peperiksaan tanpa memahami proses pembelajaran anak-anak mereka. Peluang yang amat berharga ini tidak harus disia-siakan. Para pelajar juga harus pandai memanfaatkan sokongan daripada para tutor dan banyakkan bertanya jika kurang memahami kandungan pelajaran.

Pada 29 Jun 2020, para pelajar akan kembali ke sekolah dengan sepenuhnya. Walaupun ini bermakna pembelajaran di rumah akan berakhir, sememangnya, kita tidak dapat mengagak jika Singapura akan melalui situasi seperti pandemik Covid-19. Tentu sekali, para guru, tutor serta pelajar tidak sabar untuk pulang ke kelas masing-masing namun kita harus sentiasa bersedia sekiranya pembelajaran di rumah diteruskan semula dan berusaha dengan lebih gigih untuk memanfaatkan masa yang kita ada bersama keluarga dan sekaligus mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

Pembelajaran di rumah memang menimbulkan banyak cabaran, tetapi bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Dengan sikap yang positif dan sokongan daripada pelbagai pihak, nescaya kita dapat meraih yang terbaik daripada pengalaman ini.

– Norhanim Binte Hashim

 

Norhanim (kedua dari kiri) bersama Roving Mentors MTS

Norhanim Binte Hashim merupakan seorang guru kanan di sebuah sekolah rendah. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam Pendidikan dan telah mengajar selama 17 tahun. Beliau aktif dalam membimbing guru-guru muda dalam memperbaik pedagogi dan pengajaran di dalam kelas. Beliau juga telah berkongsi pakej-pakej pengajaran yang telah dihasilkan di pelbagai sesi perkongsian.

wpChatIcon